Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang

Tuesday, December 28, 2010

Pinjaman Pencipta buat manusia

Assalamualaikum w.b.t.

Setelah sekian lama bertungkus lumus menguruskan dan menjalankan Kembara Srikandi, akhirnya terlangsung jua program tersebut. Alhamdulillah. (InsyaAllah entry berkenaan kem tersebut akan dipost dalam masa terdekat)

Sekadar berkongsi ilmu yang diperoleh dari En Shamsul, salah seorang fasilitator kem Eagle Nest. Kata beliau, setiap manusia dikurniakan tujuh sifat/kebolehan oleh Allah s.w.t. dan kejayaan setiap orang itu bergantung pada cara dan sejauh mana dimanfaatkan tujuh sifat/kebolehan ini. Tujuh sifat tersebut ialah:

ﺣﻲ(hidup)
Syarat pertama untuk setiap manusia berfungsi ialah bernafas dan hidup. Lebih beruntung lagi sekiranya seseorang itu dikurniakan ni'mat Iman dan Islam dalam menjalani kehidupannya di dunia yang sementara. Subhanallah.

ﺇﺭﺍﺩﺓ(keinginan)
Setiap sesuatu itu bermula dengan keinginan. Bak kata pepatah, "hendak seribu daya, mahu seribu cara". Sekiranya sebelum bermula lagi sememangnya kita tidak mempunyai keinginan melakukan sesuatu, pastilah sesuatu itu tidak sama dengan sesuatu perkara yang kita lakukan dengan sepenuh keinginan dan keazaman. Seseorang yang berusaha melihat meski dalam kegelapan malam yang kurang cahaya, pasti berbeza dengan mereka yang membataskan penglihatan sendiri hanya kerana kegelapan malam tersebut. Yang pasti, setiap sesuatu itu berlaku hanyalah dengan izin Allah s.w.t.

ﻗﺪﺭﺓ(kemampuan)
Qudrat setiap orang adalah berbeza-beza. Seorang lelaki diciptakan lebih kuat dari wanita, tetapi dengan latihan yang betul dan berterusan, seorang wanita boleh menjadi lebih kuat dari seseorang lelaki. Ingatlah pengorban Asma' binti Abdullah dalam peristiwa Hijrah yang menghantarkan bekalan makanan buat baginda Rasulullah s.a.w. dan juga ayahnya sendiri, Saidina Abu Bakar r.a. Meski berbadan dua, digagahkan diri memanjat batuan bukit menuju ke Gua Tsur. Begitulah, tiada apa yang mustahil di dunia ini. Tanamkan azam dan sertakan dengan usaha yang berterusan, insyaAllah sesuatu itu akan terhasil.
ﻋﻠﻢ(Ilmu)
Manusia tidak dilahirkan celik huruf dan petah berbicara. Semuanya melalui proses pembelajaran, menuntut dan mempelajari ilmu. Berbeza pemikiran dan perbuatan orang yang berilmu dan mereka yang jahil. Malahan, amal tanpa ilmu diibaratkan gila. Semoga kita semua menjadi mereka yang memanfaatkan ilmu di dada dalam beroleh kejayaan dan kebahagiaan hidup di dunia dan juga di akhirat kelak, insyaAllah.
ﺳﻤﻊ (pendengaran)
Bersyukurlah mereka yang dikurniakan ni'mat mendengar. Tidaklah semua manusia beruntung memiliki kemampuan ini. Adanya pendengaran memungkinkan kita untuk melakukan banyak perkara: berkomunikasi, belajar dan banyak lagi.

ﺑﴫ (penglihatan)
Penglihatan merupakan ni'mat yang amat besar bagi manusia. Amalan ratusan tahun pun masih belum dapat menyamai ni'mat Allah ini. Meski begitu, tidak ramai yang memerhati ataupun cuba untuk memahami. "You see, but you do not observe"- Sherlock Holmes. Berbeza melihat dan memerhati meskipun keduanya menggunakan mata. Bukan sekadar itu, mata yang melihat dengan pengetahuan dan mata yang melihat tanpa pengetahuan turut berbeza. "the eyes don't see what the mind doesn't know". Kerana itulah,sebagai pelajar, kita digalakkan untuk bersedia lebih awal sebelum sesi pembelajaran khususnya amali kerana dengan itu, kita akan lebih peka dan mudah menerima ilmu.
ﮐﻠﻢ(kalimah@berkata-kata)
Berkata-kata membolehkan kita berkomunikasi dengan orang lain. pilihan kata-kata menggambarkan peribadi kita. Terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya. Namun, janganlah kita mendiamkan kebenaran dan yang hak. "Katakanlah yang benar meskipun pahit". Dalam menyatakan sesuatu, berkatalah dengan baik, dalam sesuatu kejahilan, utarakanlah persoalan dengan sewajarnya. Bak kata pepatah, "diam orang yang berilmu berfikir, diam orang yang bodoh itu sia-sia sahaja". Benarlah kata hukama', bertanya itu kunci ilmu.

Sekadar itu sahaja entry buat kali ini, semoga bermanfaat dan menjadi peringatan buat diri ini dan juga pembaca sekalian. Allahua'lam.

credit goes to En Shamsul from Eagle Nest for the input:) jazakallah khairan and sorry if the explanation doesn't fit your specification

0 comments:

Varsiti tercinta: UKMKL

Sahabat

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | Blogger Templates